Ramai dijangkiti Covid-19 mengadu lewat terima tuntutan MySalam – Asyraf Wajdi

0
1

RAMAI yang dijangkiti Covid-19 dan membuat tuntutan Skim Perlindungan Masyarakat MySalam (MySalam) mengadu masih belum mendapat tuntutan yang dibuat.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau banyak menerima aduan dan mendapat mesej berhubung perkara itu.

“Ramai yang mengadu dan mesej kepada saya mengenai kelewatan Kerajaan untuk memproses dan membayar tuntutan MySalam bagi manfaat hospitalisasi untuk mereka yang positif Covid-19 dan dimasukkan ke hospital.

“Apakah anda juga hadapi isu dan masalah serupa?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Perkara itu ternyata benar apabila ramai yang mengadu perkara sama di ruangan komen hantaran berkenaan.

“Ya saya juga masih dalam proses hampir empat bulan sudah berpuluh email.. tiada jawapan memuaskan.. call tak berjawab sepanjang masa sibuk,” luah Razif Iza.

“Ya Datuk, terlalu lambat dan berkali-kali dokumen yang di minta walaupun sudah diberi, nak perbetulkan maklumat pun tak boleh, walaupun dah pastikan betul sebelum menghantar,” kata Khairul Azri pula.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook dengan akaun bernama Ruslan Sailan mendakwa sudah mendapat tuntutan berkenaan semalam selepas lima bulan menunggu.

“Saya lima bulan tunggu, semalam baru dapat..syukur Alhamdulillah merasa jugak duit MySalam,” katanya.

Melalui skim MySalam mereka yang dimasukkan wad disebabkan oleh virus Covid-19 boleh menuntut elaun hospital sebanyak RM50 sehari sehingga 14 hari setahun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here