Azizulhasni, Cheong Min dinobat Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2019/2020

0
1

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan buat kali keempat dalam Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020 malam tadi.

Pengiktirafan itu meletakkan atlet kelahiran Terengganu berkenaan sebaris dengan lagenda sukan tanah air, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei.

Sementara itu, atlet wushu wanita negara, Tan Cheong Min menjadi atlet pertama dalam sukan itu dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan.

Tan Cheong Min menjadi atlet pertama dalam sukan itu dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis anugerah berkenaan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, malam tadi.

Pada majlis tersebut, sebanyak 10 kategori anugerah disampaikan termasuk Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan, Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan serta Anugerah Kepimpinan Sukan.

“Seri Paduka Baginda berkenan menyampaikan anugerah Olahragawan kebangsaan kepada atlet berbasikal negara, Datuk Azizul Hasni Awang dan Olahragawati kebangsaan kepada atlet Wusyu negara, Tan Cheong Min.

“Terdahulu Seri Paduka Baginda turut berkenan merasmikan buku ‘Legenda Sukan Malaysia’ kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB),” menurut perkongsian di laman Facebook rasmi, Istana Negara, hari ini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Anugerah tahunan ASN yang diperkenalkan sejak tahun 1966 adalah pengiktirafan tertinggi kerajaan ke atas pencapaian cemerlang atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan.

Untuk rekod Azizulhasni yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ sudah tiga kali dipilih sebagai Olahragawan Kebangsaan sebelum ini iaitu pada 2009, 2010 dan 2017.

Cheong Min pula dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan susulan pencapaiannya cemerlangnya memenangi emas dalam acara nandao pada Kejohanan Wushu Dunia 2019 di Shanghai, China.

Dalam pada itu, atlet memanah para kebangsaan, S Suresh dipilih sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan manakala tiada pencalonan bagi Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

Azizulhasni, Cheong Min dan Suresh masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 dan trofi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here