MALAYSIA merekodkan sebanyak 73 kes kematian akibat jangkitan Covid-19 setakat semalam.
Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan angka korban disebabkan Covid-19 di negara ini meningkat kepada 34,535 kes, sejak wabak melanda.
Menerusi data portal COVIDNOW, daripada jumlah itu, 25 daripadanya adalah kes kematian yang direkodkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Perkembangan itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan BID mencecah 7,269 kes.
Sementara itu, data berkenaan memaklumkan sebanyak 252,671 kes aktif di negara ini.
Sebanyak 96.7 peratus atau 244,62 individu kini sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.
Sementara, 1,435 pesakit Covid-19 kini menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Manakala, 6,617 pesakit mendapatkan rawatan di hospital dengan 130 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan seramai 209 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 21,483 kes Covid-19 direkodkan semalam.
Katanya, perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di Malaysia kini mencecah sebanyak 4,032,435 kes.
Daripada kes yang dilaporkan semalam, sebanyak 394 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Selangor mencatat 7,452 kes, Kuala Lumpur (3,433 kes), Sarawak (1,547 kes), Pulau Pinang (1,295 kes), Kedah (1,219 kes), Perak (1,170 kes) dan Negeri Sembilan (1,061 kes).
Seterusnya, Pahang (959 kes), Johor (927 kes), Kelantan (609 kes), Terengganu (584 kes), Melaka (536 kes), Sabah (402 kes), Perlis (131 kes), Labuan (93 kes) dan Putrajaya (65 kes). – Malaysiapost

