Pemilik, pengunjung premis hiburan dikompaun RM45,000

0
1

POLIS mengenakan kompaun berjumlah RM45,000 kepada 43 pengunjung dan dua pemilik premis hiburan di sekitar ibu kota, lewat malam tadi.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob, berkata sebanyak 12 kompaun dikeluarkan terhadap pengunjung di premis pertama, manakala 31 kompaun dikeluarkan terhadap pengunjung di premis kedua yang bernilai RM 1,000 setiap satu kompaun.

Dalam perkembangan sama juga, katanya, sebanyak dua kompaun turut dikeluarkan terhadap pemilik premis pusat hiburan berkenaan dengan nilai yang sama.

“Jumlah keseluruhan nilai kompaun yang telah dikeluarkan dalam serbuan ini adalah berjumlah RM 45,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, kesemua pusat hiburan tersebut melakukan kesalahan melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) yang masih dikuatkuasakan ketika ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 demi mengurangkan penularan jangkitan wabak ini yang masih tinggi.

“Jika terdapat sebarang maklumat pelanggaran SOP Covid-19 terutama di pusat hiburan berhampiran boleh disalurkan melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang boleh dimuat turun di telefon pintar.

“Polis Kuala Lumpur amat menghargai sebarang bentuk maklumat daripada orang awam demi kesejahteraan masyarakat bersama,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here