Pemimpin DAP Johor desak Guan Eng berundur, elak parti terpalit kes rasuah terowong

0
1

PEMIMPIN DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau mendesak Lim Guan Eng meletak jawatan sebagai Pengerusi Kebangsaan parti itu, susulan perbicaraan rasuah terowong dasar laut dihadapi bekas Setiausaha Agung DAP tersebut.

Beliau menegaskan, mana-mana pemimpin yang terpalit tuduhan rasuah atau skandal harus mengambil inisiatif untuk meletak jawatan bagi mengelak daripada menghantar isyarat salah mengenai nilai parti itu kepada masyarakat.

Pada masa sama katanya, ia bagi mengelak kedudukan parti terjejas bagi berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Mana-mana pemimpin yang terjejas dengan tuduhan rasuah dan skandal harus berundur kerana cintanya kepada parti daripada menggunakan retorik “penganiayaan politik” untuk meraih simpati orang ramai.

“Atau, adakah pengundi mempunyai keyakinan terhadap konsistensi parti dalam pendirian dan prinsip kita?

“Jika DAP diketuai pemimpin dengan tuduhan jenayah di mahkamah, sukar untuk mengekalkan prinsip dan nilai teras parti, seterusnya menjejaskan imej parti di mata umum,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Cheng Hau juga berpendapat, menggunakan retorik “penganiayaan politik” sebagai pembelaan secara tidak langsung memberi tekanan tidak wajar terhadap sistem kehakiman, dan ia bertentangan dengan pendirian jangka panjang parti tersebut dalam menegakkan kebebasan badan kehakiman.

Sehubungan itu, beliau meminta Mentor parti, Lim Kit Siang menasihati Guan Eng supaya melepaskan jawatannya bagi mengelak DAP turut terpalit dalam perbicaraan dihadapi Ahli Parlimen Bagan itu.

“Saya percaya peletakan jawatan secara tegas adalah baik untuk imej Pengerusi Kebangsaan dan parti. DAP tidak boleh jadi seperti Umno dalam mengendalikan isu seperti ini sedangkan kita berusaha menjadi parti politik bertaraf dunia.

“Malangnya saya berpendapat Pengerusi Kebangsaan terpaksa menghadapi pertuduhan rasuah atas kapasitinya sendiri untuk mengekalkan kedudukan yang baik sebagai pemimpin bertaraf dunia.

“Di Singapura, kedua-dua Parti Pekerja pembangkang dan PAP yang memerintah akan mengambil pendirian dan tindakan konsisten terhadap pemimpin atau ahli parti yang menghadapi tuduhan rasuah atau terperangkap dalam skandal – seseorang itu perlu sama ada keluar parti atau dipecat,” katanya lagi.

Cheng Hau menambah, Guan Eng adalah seorang pemimpin berkebolehan dan boleh membuat kemunculan semula pada bila-bila masa jika terbukti tidak bersalah di mahkamah.

Beliau memberi contoh, Tun Dr Mahatir Mohamad yang telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 namun kembali pada 2018 pada usia 93 tahun.

“Saya dengan rendah hati berpendapat bahawa Pengerusi Kebangsaan harus berundur dan membiarkan CEC yang baru dipilih bebas daripada sebarang beban untuk membawa parti ke hadapan, mendapatkan semula keyakinan orang ramai dan menghadapi PRU15 akan datang dengan kedudukan terbaik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here