KKM usaha pastikan pembukaan semula pintu sempadan negara selamat – KJ

0
1

[Parlimen] KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengemaskini prosedur pengujian dan kuarantin kepada pengembara yang tiba di Malaysia melalui udara bermula 1 April ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata, sementara itu, bagi pengembara yang tiba menerusi Pintu Masuk Antarabangsa darat, satu pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

Katanya, Malaysia akan memasuki ke fasa ‘Peralihan ke Endemik’ pada 1 April ini yang mana sempadan negara juga akan mula dibuka bermula pada tarikh tersebut.

“Keputusan pembukaan semula sempadan negara dibuat berpandukan data dan fakta sains yang terkini berkaitan Covid-19, tahap kesiapsiagaan fasiliti kesihatan dalam negara serta kadar vaksinasi penduduk.

“Selain membanding model pembukaan sempadan dengan negara lain. Pada masa yang sama, ia perlu mengambil kira keselesaan pengembara tanpa merumitkan urusan perjalanan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis pertanyaan lisan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata, bagi memastikan pembukaan sempadan negara dilaksanakan dengan selamat, KKM akan terus melaksanakan pendekatan berikut:

(i) Melaksanakan Sistem Amaran dan Tindakan (Heightened Alert System; HAS)
(ii) Mengukuhkan aktiviti diagnostik menerusi National Testing Strategy (NTS)
(iii) Memperkasa pelaksanaan TRIIS
(iv) Mengurangkan morbiditi dan mortaliti (kematian) melalui pengukuhan pendekatan digitalisasi MySejahtera, meliputi pelbagai aspek penting iaitu Automated FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate and Support).

Menyentuh mengenai SOP baharu pula, Khairy berkata, salah satu komponen utama di bawah fasa ‘Peralihan ke Endemik’ adalah dengan memperkenalkan satu SOP yang disokong sembilan garis panduan.

“Ia sedang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). SOP dan garis panduan ini akan diumumkan oleh MKN tidak lama lagi.

“Bagi memastikan Malaysia sentiasa bersedia menghadapi kehadiran varian baharu, kerajaan akan terus memperkasakan pelaksanaan ujian penjujukan genom.

“Selain itu, KKM juga akan memastikan kesiapsiagaan sistem kesihatan ditingkatkan termasuk usahasama dengan fasiliti kesihatan swasta,” katanya.

Khairy berkata, KKM juga akan membangunkan Covid-19 Clinical Care Pathway bagi tujuan memperkenalkan ubat antiviral terkini yang akan diberikan kepada pesakit berisiko tinggi pada peringkat lebih awal semasa mereka bergejala ringan.

“Selain, memastikan akses kecemasan dan darurat tersedia seperti menyediakan jumlah ambulans yang mencukupi dan tiba pada waktu yang ditetapkan melalui sistem pengurusan berpusat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here