PEMANDU sebuah pacuan empat roda yang didapati memandu secara merbahaya dengan menghimpit sebuah kereta seperti video tular di media sosial sejak semalam, kini diburu polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata pihaknya mengesan satu video berdurasi satu minit 35 saat yang dimuat naik di halaman Facebook (FB) ‘Jebat MAOC’ semalam.
Menurutnya, video itu memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melakukan buli jalan raya dengan cuba menghimpit sebuah kereta lain sehingga hampir berlaku kemalangan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di Kilometer (KM) 138.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di Perai, Pulau Pinang pada 18 Mac lalu jam 2.49 petang.
“Insiden menunjukkan pacuan empat roda bernombor pendaftaran PMX3338 menghimpit sebuah kenderaan nombor pendaftaran tidak pasti yang hampir berlaku kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ekoran daripada kejadian itu pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan pemandu pacuan empat roda terbabit dan pemandu kenderaan yang dihimpit tersebut.
“Polis memohon pengguna lebuh raya yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil untuk membantu siasatan.
“Maklumat berkenaan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Firdaus Abdul Ghani di talian 014-3955400 atau 04-5382222,” katanya. – Malaysiapost

