Rafizi perlu turunkan ego, Saifudin lebih layak untuk Timbalan Presiden PKR

0
1

KEMUNCULAN kembali atau ‘come back’ ke pentas politik yang diumumkan Rafizi Ramli dengan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dikhuatiri akan membawa kepada perpecahan parti  itu.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Syed Badli Shah Syed Osman, berpendapat tiada keperluan untuk Rafizi bertanding jawatan yang lebih tinggi sedangkan beliau telah diberikan tugas sebagai Naib Presiden sebelum ini.

Menurut Naib Ketua AMK Cabang Damansara itu, Rafizi memilih untuk mengabaikan jawatan yang diberikan sebelum ini dengan lama menghilangkan diri.

“Saya mengalu-alukan saudara Rafizi Ramli yang tampil kembali ke gelanggang politik dan berhasrat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.

“Meneliti hujah beliau dalam rancangan bual bicara “Terpaling Terus Terang”, saya mendapati terdapat kebenaran yang perlu diakui dari sudut kelemahan prestasi PKR dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Namun demikian saya juga khuatir jika beliau hanya kembali untuk merebut posisi sebagai Timbalan Presiden, fraksi beliau akan membawa perpecahan ke dalam parti kerana beliau sudah lama menghilangkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Badli Shah menyarankan Rafizi untuk merendahkan sedikit ego demi penyatuan parti dengan mempertahankan jawatan Naib Presiden dan seterusnya memikul tugas sebagai Pengarah Pilihanraya.

“Saya yakin sosok yang amat berpengalaman dan setia dengan perjuangan seperti Datuk Saifuddin Nasution Ismail amatlah sesuai diangkat sebagai timbalan presiden.

“Sebagai komitmen kepada penyatuan ini, saya akan menyokong Rafizi sebagai Naib Presiden jika beliau berjiwa besar menerima pelawaan ini demi memperkukuh kedudukan PKR,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here