Nilam Oshman
UMNO tidak pernah memutuskan hubungan dengan PAS namun parti Islam itu yang mengkhianati hubungan mereka dalam Muafakat Nasional (MN), kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Soal selamat tak selamat (MN) ini kena tanya PAS, sebab yang meninggalkan MN bukan Umno tetapi PAS.
“Bila saya beberapa kali mendedahkan bagaimana siri-siri mesyuarat MN, tiga kali kita tanya PAS ‘betul atau tidak PAS akan menyertai Jawatankuasa Penaja Perikatan Nasional (PN), tiga kali juga PAS menafikan.
“Rupa-rupanya bekas Setiausaha Majlis Syura ulamak PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali isytihar keluar parti dan dedahkan keputusan PAS menyertai PN tidak pernah dirujuk kepada Majlis Syura, yang merupakan Majlis Tertinggi membuat keputusan parti itu.
“Ini buktikan apa yang saya beritahu dulu maknanya yang meninggalkan MN, menyertai PN dan membelakangi Umno adalah PAS.
“Umno tidak pernah pun mengkhianati hubungan dengan PAS terutamanya MN,” katanya dalam sidang media di laman media sempena Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, Umno masih mahu menyelamatkan MN, iaitu dengan rela menyerahkan kerusi ‘boleh menang’ bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tetapi PAS menolak dan menyertai PN.
“Kalau ingat keputusan MKT Umno waktu itu kita minta PAS bertanding menggunakan lambang sendiri dan kita sedia untuk beri kerusi-kerusi ‘boleh menang’ kepada PAS.
“Tetapi apa yang PAS buat keputusan… mereka kekal guna lambang PN, itu susahlah. Sebab keputusan Perhimpunan Agung Umno (tahun lalu), kita tak boleh bekerjasama dengan Bersatu tetapi kita harus cari jalan memperkasakan MN.
“Kita mengambil mandat PAU yang lepas untuk mempertahan dan memperkasakan MN tapi apakan daya orang dah tak nak kat kita, takkan ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’.
“Saya tak kata tamat (hubungan dengan PAS) sebab yang hanya boleh menamatkan.. sama-sama kena buat keputusan kalau dulu kita meterai MoU secara bersama.
“Maknanya kalau nak putuskan, salah satu parti kena isytihar, jadi dalam konteks di sini, saya rasa bukan Umno yang meninggalkan MN tapi setakat ini adalah PAS,” katanya – Malaysiapost

