PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak perlu disegerakan kerana banyak dasar-dasar baharu kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memerlukan masa untuk impaknya dirasai rakyat.
Sehubungan itu, Ketua Umno Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata tiada keperluan ia diadakan dalam masa terdekat melainkan ada pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda.
“Tunggulah… pada saya tiada keperluan, melainkan saya nampak ada agenda tersendiri, nak jadi Perdana Menteri ke, yang kalah bertanding dulu tak bertanding, jadi ini sebab nak fikir diri sendiri saja. Jadi inilah alasan saya beri, tak perlulah,” katanya.
Mohamed Nazri berkata dalam mengadakan PRU, kepimpinan Umno perlu juga mendapatkan pandangan rakyat dan pada masa sama keputusan akhir adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Beliau menambah, sepanjang berada dalam Kabinet sejak zaman pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, belum pernah lagi wujud desakan daripada perwakilan Umno supaya Parlimen dibubarkan segera.
“Saya duduk dalam Jemaah Menteri sejak zaman Dr Mahathir lagi. Tak pernah saya hadir dalam mesyuarat perwakilan desak nak bubar Parlimen. Tak pernah, mungkin ini berlaku kerana pucuk pimpinan kita tiada pengalaman. Tapi setahu saya, tak pernah.
“Kerana apa? Kerana Perdana Menteri mesti wajib berunding dulu. Selepas itu kalau Agong kata ok, oklah,” katanya lagi.
Mohamed Nazri berkata desakan untuk PRU segera juga bersifat oportunis iaitu beranggapan boleh menang berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.
“Banyak gesaan capai kemenangan mutlak.
Saya ingat, cogan kata kita, BN membela rakyat, BN mendahulukan rakyat. Jadi kalau kita sekarang ini sebagai parti, ada peluang nak menang besar, siapa yang nak kita dahulukan?
“Kepentingan parti atau rakyat? Rakyat masih belum sedia lagi kerana pandemik, pakailah otak sikit. Jangan hanya cogan kata sekadar cogan kata sahaja.
“Tapi sebenarnya kita oportunis. Tengok kita boleh menang, kononnya kita menang di Melaka, di Johor, maka kita rasa ini peluang untuk kita menang, makna kita oportunistik.
“Makna parti ni hanya memikirkan parti saja, tidak memikirkan rakyat. Tanyalah rakyat dulu… rakyat susah,” katanya lagi.
Beliau juga mengingatkan semasa PRN lalu, undi popular BN hanya kira-kira 40 peratus dan pada ketika sama pembangkang kini dalam perbincangan untuk bekerjasama melawan BN.
“Kalau kita buat PRU sekarang, pembangkang akan bersatu, satu lawan satu. Jangan ingat kita boleh menang. Kita cuma ada 46 peratus (undi popular).
“Jangan terlalu yakin, tapi penting pada saya, dahulukan rakyat, bela rakyat. Jangan cakap tak serupa bikin dan guna otak,” katanya. – Malaysiapost

