Faizal Tahir syukur kehadiran ‘malaikat kecil’ dalam keluarga

0
1

PENYANYI popular, Faizal Tahir memanjatkan rasa syukur atas rezeki dikurniakan cahaya mata ketujuh, Disember lalu yang diberi nama Maryam Tahirah.

Bagi Faizal, kelahiran Maryam Tahirah amat bermakna buat dirinya dan keluarga selepas bayi comel itu dilahirkan dengan sindrom down.

Menerusi hantaran di Instagram, pelantun lagu Dirgahayu itu berkata telah mengetahui berkenaan perkara tersebut sejak bayinya dalam kandungan.

“Sebulan sebelum isteri bersalin, kami dapat tahu anak dalam kandungan disahkan menghidap sindrom down. Saya menerimanya dengan baik, Alhamdullilah. Reda, itu yang Allah bagi.

“Saya tak ada rasa macam ‘down’ dan tidak timbul rasa kecewa atau persoal kenapa anak saya dilahirkan sindrom down,” katanya.

Menurut Faizal, seluruh ahli keluarga dan rakan-rakannya memberikan sokonga positif sebaik dimaklumkan dengan berita itu.

“Benda pertama yang keluar daripada mulut mereka ialah Masya-Allah, SubhanAllah, Allah kurniakan kepada kau anak syurga ‘bro’. Masa itu hati saya dengar memang tersentuh.

“Ada juga yang mengatakan tak semua orang dapat, saya insan terpilih untuk diberikan anak yang ‘istimewa’. Alhamdulillah benda ini sangat memberi semangat dan memberi kekuatan kepada saya dan isteri,” ujarnya.

Dalam hantaran itu juga, dia berkata kehadiran Maryam Tahirah adalah adalah kunci kepadanya untuk melalui sebuah kehidupan yang lebih baik pada masa depan.

“Bukan anak saya ini yang perlukan saya… (sebaliknya) saya yang sangat perlukan anak saya untuk menjadi manusia yang lebih baik dan untuk saya menjadi manusia yang lebih bersyukur,” katanya lagi.

Perkongsian Faizal itu mendapat reaksi rakan-rakan artis yang menyifatkan kehadiran anak istimewa itu bagai malaikat kecil kiriman Allah SWT. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here