UMNO Sabah berada di landasan tepat untuk membentuk jentera yang lebih efisyen dan berkesan menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, Umno Sabah dilihat telah memperkemaskan jentera dan penyusunan di peringkat akar umbi turut diperkasakan.
“Insyallah, Umno Sabah selepas PRN yang lalu kita telah memperkemaskan jentera kita, dan kita telah menyusun semua persiapan pilihan raya di bawah.
“Bermakna kita telah bersedia berhadapan dengan pilihan raya (ini), Bagaimanapun kita juga akan terus mempertingkatkan usaha ke arah untuk membentuk satu jentera yang lebih efisyen dan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan.
Ketika ditanya mengenai situasi Umno Sabah dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelangnya PRU15, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, perkara tersebut akan dibincangkan nanti.
“Umno di Sabah, agak berlainan sedikit dengan Umno di Semenanjung, dan ini memerlukan kebijaksanaan untuk berhadapan dengan rakan-rakan dalam GRS dan saya akan cuba membincangkan perkara yang difikirkan dengan pendekatan GRS.
“Sebab kita juga tidak mahu bertembung di antara satu sama lain, tetapi kita juga akan akur dengan pucuk pimpinan.
“Ini bermakna banyak kemungkinan akan berlaku sekiranya usaha-usaha yang akan kita rancang tidak berhasil bermakna akan ada kemungkinan-kemungkinan yang lain, “katanya.
Jelas Bung Mokhtar lagi, di era politik serba dinamik, Umno Sabah sentiasa berhadapan dengan segala kemungkinan namun beliau tetap berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan bijaksana tanpa mengundang kemudaratan bagi mana-mana pihak.
“Sebab itu, politik ini semuanya kemungkinan tetapi saya berharap dan saya yakin rakan-rakan dalam GRS masih boleh dirunding dan diperbincangkan,” katanya.
Semalam, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiada alasan untuk Umno melengahkan PRU15.
Malah menurutnya, menganjurkan PRU semasa pandemik adalah pilihan terbaik namun semuanya dilaksanakan dengan disiplin dan ketertiban seperti di Melaka, Sarawak dan Johor.
Kata Mohamad, Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, Sarawak dan Johor memberi beberapa petunjuk penting bahawa masanya adalah sekarang dan bukan tahun hadapan. – Malaysiapost

