UMNO tidak boleh bergantung harap lagi kepada kasihan dan belas orang lain, parti itu juga mesti berdiri sendiri serta yakin dengan visi Umno untuk Malaysia.
Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, berkata mesej yang disampaikan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan malam tadi cukup jelas mengajak bangsa Melayu untuk pulang kembali kepada parti itu.
“Tetapi untuk meyakinkan orang Melayu, kita perlu fahami dan santuni perubahan yang telah berlaku kerana sosialisasi dan mobilisasi. Orang Melayu hari ini tidak sama seperti 2-3 dekad lalu.
“Umno mesti ada strategi sendiri, yang sederhana dan sedia untuk membawa kestabilan kepada Negara. Adil kepada semua seperti zaman segala pemimpin sebelum kita,” katanya menerusi Facebook.
Jelas Shahril lagi, Umno perlu meyediakan visi yang jelas yang mampu menangkap imaginasi pengundi bukan setakat manifesto.
“Agenda bersama untuk masa depan bersama merangkumi bukan sahaja ekonomi, politik, dan reformasi institusi.
“Tetapi menyentuh agenda peribahan iklim, pemerkasaan wanita, dan menyediakan Malaysia untuk segala trend masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, keadaan politik di negara perlu ada penyelesaiannya.
“Kian tiba masanya Barisan Nasional (BN) kembalikan mandat kepada rakyat untuk mereka memilih siapa yang layak mengemudi negara dengan visi dan rangka yang jelas.
“Kita perlu merapatkan saf, bersatu hati untuk mengorak langkah kedepan memastikan agar perjuangan demi Agama, Bangsa, dan Malaysia tercinta terus terjamin,” katanya.
MNO perlu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan majoriti besar untuk membentuk kerajaan yang stabil dan tidak boleh bergantung harap kepada belas ihsan pihak lain.
Malam tadi, Mohamad Hasan ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno berkata, parti itu hendaklah menampilkan kepimpinan kerajaan yang mendapat mandat yang padu, berwibawa dan mampu memacu pembangunan Malaysia berkali ganda.
Katanya, Umno perlu menampilkan kepemimpinan berprestasi dan berpengalaman yang boleh mengemudi ia menjadi sebuah negara berpengaruh dan maju.
“Adalah sangat penting di mana dasar Umno boleh diterjemahkan menjadi dasar kerajaan. Yang mana parti dan kerajaan akan seiring sejalan,” katanya. – Malaysiapost

