KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki malam tadi mengambil kesempatan berjumpa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mengucapkan terima kasih susulan keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Asyraf Wajdi menyampaikan ucapan itu kepada Perdana Menteri selepas berakhir majlis perasmian Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Putra (WTC) di ibu negara.
“Malam ini berkesempatan menyampaikan sendiri ucapan terima kasih dan penghargaan kepada YAB PM atas kebenaran pengeluaran khas KWSP RM10,000 yang amat dinanti dan diharapkan oleh rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Dalam hantaran berasingan, Asyraf Wajdi turut merakamkan penghargaan kepada KWSP kerana mempermudah pengeluaran khas RM10,000 seperti diumum kerajaan semalam.
Sehubungan itu beliau berharap mereka yang memerlukan pengeluaran berkenaan agar memanfaatkannya sebaik mungkin.
“Terima kasih KWSP kerana menurut arahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar dipermudahkan pengeluaran khas KWSP RM10,000 bermula 1 April ini tanpa banyak syarat.
“Bagi yang benar-benar memerlukan, manfaatkanlah wang yang dikeluarkan dengan penuh berhemah demi kelangsungan hidup dan melangsaikan apa jua bentuk komitmen tertunggak untuk memulakan kehidupan baharu.
“Manakala yang tidak memerlukan, tidak perlulah keluarkan agar dapat menerima manfaat dividen dan menerima faedah di masa hadapan. Moga Allah mempermudah urusan semua,” katanya.
Semalam KWSP memaklumkan pengeluaran khas sehingga RM10,000 yang diumumkan Perdana Menteri adalah melalui Akaun 2.
Menurut KWSP menerusi infografik dikongsi di Facebooknya, jika tidak mencukupi maka simpanan Akaun 1 akan diakses.
Pengeluaran khas itu terbuka kepada ahli KWSP berumur di bawah 55 tahun dan permohonannya bermula 1 hingga 30 April 2022 secara online dan pembayaran akan dibuat bermula 20 April. – Malaysiapost

