Bincang tarikh pilihan raya secara terbuka ‘tak kena tempat’ – Annuar Musa

0
1

BEKAS Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, berkata pemimpin Umno tidak sepatutnya membicarakan mengenai tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) secara terbuka.

Annuar berkata, membincangkan tarikh pilihan raya secara terbuka disifatkan sebagai tindakan yang ‘tidak kena pada tempatnya’ sekali gus hanya akan mencetuskan polemik.

Jelas Annuar lagi, tambahan pula perkara itu merupakan hak mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya, manakala Perdana Menteri hanya berhak memberi nasihat.

“Kerana tidak pernah soal tarikh pilihan raya ini dibincang secara terbuka. Seingat sayalah, ini Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke 41 saya hadir, tarikh pilihan raya tidak diputuskan secara terbuka kerana ia satu strategi parti yang sangat penting.

“Sebab itu pada saya tarikh cepat atau lambat elok dibincangkan pucuk pimpinan secara tertutup dan mengekalkannya sebagai satu strategi parti bukan untuk bercakap secara terbuka.

“Jadi soal pembubaran Parlimen tidak boleh dibincangkan di luar konteks perlembagaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Semalam, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap merasmikan perhimpunan tiga sayap parti itu malam tadi, menyifatkan tiada alasan untuk Umno melengahkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah, menurutnya, menganjurkan PRU semasa pandemik adalah pilihan terbaik namun semuanya dilaksanakan dengan disiplin dan ketertiban seperti di Melaka, Sarawak dan Johor.

Kata Mohamad, Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, Sarawak dan Johor memberi beberapa petunjuk penting bahawa masanya adalah sekarang dan bukan tahun hadapan.

Mengulas lanjut, Annuar turut menyifatkan ucapan Mohamad itu sebagai ‘berat’, dan menyifatkannya sebagai satu ‘lontaran peribadi’ seseorang yang berada di luar kerajaan.

Annuar berkata, semua kenyataan Mohamad sebagai ‘heavy’ termasuk mengeluarkan kenyataan menyatakan prestasi Umno dalam kerajaan tidak memuaskan.

Namun, Annuar berkata, ucapan berkenaan mungkin dimaksudkan Mohamad untuk dijadikan bahan untuk dibahaskan perwakilan, selain menyifatkannya sebagai satu pandangan bukan dasar.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, ada perkara dalam ucapan perasmian Mohamad yang dipersetujuinya dan ada sebaliknya.

“Apa yang dikatakan prestasi Umno dalam kerajaan tidak memuaskan? Berdasarkan kepada apa? Faktanya apa? Dan portfolio mana yang Umno pegang yang dirasakan di bawah par?

“Maka saya kata itu pandangan Tok Mat (Mohamad) sebagai orang yang berada di luar kerajaan dan beliau berhak mengeluarkan pandangannya. Saya hanya menganggap ia hanya satu pandangan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here