Ganti exco yang gagal melaksanakan tugas- Sultan Johor

0
1

SULTAN Ibrahim Iskandar bertitah akan memegang kata-kata bekas Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad bahawa tiada ideologi ahli politik dan parti yang lebih utama daripada kemakmuran negeri Johor.

Baginda juga bertitah, agar Menteri Besar yang baharu Datuk Onn Hafiz Ghazi segera menggantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) jika tidak mampu melaksanakan tugas kelak.

“Mana-mana Exco yang tidak mampu melaksanakan tugas mereka kelak, maka Menteri Besar perlu segera menggantikan Exco berkenaan.

“Begitu juga nasihat saya kepada Menteri Besar supaya menumpu pada tugas dan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat. Jangan termakan budi.

“Di peringkat awal ini, Datuk Onn juga perlu bekerjasama dengan Dato’ Hasni dalam mendapatkan pandangan atau nasihat,” titah Baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Royal Press Office (RPO).

Sultan Johor turut bertitah supaya calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta.

“Mereka (bakal calon Exco) perlu juga melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika ada yang tidak terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jangan kecil hati. Semua boleh memberi perkhidmatan yang sebaiknya,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima mengadap Onn Hafiz Ghazi, di Johor Bahru semalam.

Dalam pertemuan hampir satu jam itu, Sultan Ibrahim juga bertitah supaya kelayakan akademik setiap calon-calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri disemak kesahihannya dengan teliti.

“Pilihan raya sudah pun habis. Kini tiba masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan dan bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor,” titah Baginda. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here