Ceritakan hal betul, bukan hebahkan khabar angin

0
1

DATUK Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menafikan laporan sebuah portal yang bertanya adakah beliau telah melatak jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Ia susulan ketidakhadirannya ke Dewan Rakyat hari ini bagi mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2021 (2022).

“Saya ingin merujuk kepada laporan Utusan Malaysia yang bertanya sama ada saya telah letak jawatan. Ini berkaitan pembentangan RUU Perbekalan Tambahan 2021 (2022) oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah.

“Sebenarnya, ini memang berdasarkan perancangan kita. Tahun lepas pun, Timbalan Menteri Kewangan juga yang bentangkan, atau mungkin Utusan Malaysia buat-buat tak tahu, tak ingat atau tak kisah?

“Mereka boleh saja minta pengesahan dari pejabat atau pegawai saya. Saya mohon, kalau boleh, adillah sikit bila buat laporan media – gunakanlah kuasa pena anda untuk menceritakan hal yang betul, bukan hebahkan khabar angin,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Mengenai ketidakhadiran di Parlimen pada sesi soal jawab pula, Tengku Zafrul menjelaskan ada sedikit kecemasan peribadi yang terpaksa diuruskan pagi ini, dan ia telahpun dimaklumkan semalam.

Katanya lagi, beliau tiada niat untuk tidak menunaikan tanggungjawab menjawab soalan sebagai Menteri Kewangan.

“Mengikut SOP soalan MQT, hanya menteri sahaja yg boleh memberi jawapan, dan ini bukan pertama kali seorang menteri diminta untuk membacakan jawapan menteri lain. Banyak ‘precedent on this’. Terima kasih Menteri Agama kerana membacakan jawapan saya.

“Semua soalan tambahan akan saya sediakan jawapan secara bertulis, dan saya meminta maaf kepada YB Padang Serai serta YB Tumpat dan YB Pokok Sena (yang bertanya soalan tambahan) atas kesulitan yang berlaku,” katanya.

Terdahulu laporan Utusan Malaysia menerusi satu laporan berbentuk spekulasi mempersoalkan sama ada Tengku Zafrul telah meletak jawatan setelah ketidakhadirannya di Dewan Rakyat bagi membentangkan RUU Perbekalan Tambahan 2021 (2022).

Ia susulan kenyataan Tengku Zafrul menerusi satu wawancara bersama media tempatan sebelum ini sebagai berkata, beliau rela meletak jawatan daripada berkompromi dengan keputusan melibatkan kementeriannya yang difikirkan silap, termasuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here