Rayuan Najib dapatkan dokumen keluarga Zeti, Jho Low didengar 10 Mei

0
1

RAYUAN Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan dokumen berkaitan syarikat dikawal keluarga bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho untuk perbicaraan 1MDB yang sedang berlangsung, akan didengar pada 10 Mei depan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, berkata tarikh itu ditetapkan hari ini ketika pengurusan kes secara maya di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Rayuan, Nurul Azrina Mohamed Yusof, lapor FMT.

Najib diwakili peguam Nur Syahirah Hanapiah.

Pada 12 Julai 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mendapatkan dokumen kerana ia dianggap terlalu awal.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata beliau tidak nampak bagaimana dokumen bank berkaitan dana diterima oleh keluarga Zeti relevan dengan pembelaan Najib.

Katanya, dokumen yang diminta Najib untuk mempersoalkan kredibiliti Zeti sebagai Gabenor BNM ketika itu juga “sama seperti serangan sampingan”.

“Peguam boleh bersemuka dengannya (Zeti) apabila dia dipanggil ke kandang saksi nanti,” katanya.

Mahkamah turut menolak permohonan Najib untuk mendapatkan rekod panggilan telefon bimbit bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner sambil berkata pihak pendakwaan telah menjelaskan ia tidak mempunyai dokumen itu dalam milikannya.

“Tuntutan dalam notis usul untuk mendapatkan rekod telefon bimbit tidak mampu dikuatkuasakan.

“Ia adalah bukti bahawa rekod telefon yang dicari oleh tertuduh (Najib) bukan sebahagian daripada kes pendakwaan terhadapnya dan oleh itu pihak pendakwaan tidak bertanggungjawab untuk memberikan dokumen ini,” kata Sequerah.

Najib dibicarakan atas 25 dakwaan menyalahguna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.28 billion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here