KERAJAAN tidak membenarkan daun ketum dari negara ini, dieksport ke Thailand seperti mana permintaan Menteri Besar Kedah, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menurut Hamzah ia tidak boleh dibenarkan kerana bertentangan dengan penguatkuasaan Akta Racun 1952.
“Pada ketika ini, memang kita tidak akan benarkan (penjualan daun ketum) untuk apa-apa tujuan pun mengikut akta sedia ada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Kempen ‘Kita Demi Negara’ di Kuala Lumpur, hari ini.
Jelasnya, akta itu melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.
“Ini mungkin permintaan peribadi Menteri Besar Kedah. Kita akan meneliti perkara itu, namun setakat ini ia tidak akan dibenarkan,” katanya lagi.
Beliau berkata, daun ketum khususnya yang ditanam di Kedah, mempunyai permintaan tinggi terutama di negara jiran kerana dikatakan gred paling baik untuk tujuan perubatan, selain dijadikan pil atau minuman kesihatan.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata KDN kini hanya menunggu untuk sempadan negara dibuka semula, kerana semua persediaan penuh daripada segi kawalan keselamatan telah dilakukan lebih awal. – Malaysiapost

