PERLEMBAGAAN Umno perlu dipinda agar pemilihan parti dapat diadakan selepas pilihan raya umum (PRU).
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia penting bagi memastikan kesepaduan parti tidak dirosakkan oleh gelombang pemilihan.
“Jangan terpengaruh dengan usaha-usaha memaksa disegerakan pemilihan parti.
“Jika ada pemilihan sebelum pilihan raya, berapa ramai kepimpinan pemuda di hadapan saya ini yang akan bertukar ganti? Bukan kerana ditolak, tetapi kerana batasan umur yang tidak mengizinkan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan kerana ia dibimbangi akan menjejaskan persiapan Umno menghadapi PRU akan datang.
“Dengan masa yang pendek, apakah kita mampu membentuk semula barisan baru yang berpengalaman dan kuat untuk menghadapi peperangan?
“Usah hanyut dalam gelora pemilihan parti! Mula kembali budaya bobrok lama membawa rombongan ke sana sini, menyusun jentera, membuat pelbagai gerakan untuk mencatur dan menjatuhkan sesama sendiri.
“Ingatlah, jika bahtera kita karam buat kali kedua, jawatan parti pun sudah tidak bernilai lagi,” katanya.
Sehubungan itu, Pemuda Umno mengusulkan supaya perhimpunan Agung Umno kali ini membuat pindaan perlembagaan parti seperti mana rakan komponen BN, MCA.
“Pemuda ingin mengusulkan kepada pimpinan tertinggi dan perhimpunan agung Umno agar membuat pindaan perlembagaan parti seperti rakan komponen kita MCA supaya pemilihan parti diadakan hanya selepas setiap kali pilihan raya umum,” katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Datuk Zahida Zarik Khan turut senada dengan Asyraf berhubung pindaan perlembagaan berkenaan.
Katanya, menerusi pindaan itu barulah ahli boleh menilai pemimpin mana yang rela berjuang demi kemenangan parti dalam PRU, dan pemimpin mana pula hanya sanggup berhabis demi memastikan jawatan sendiri.
“Kita kenal siapa yang bertungkus-lumus dalam setiap PRK dan PRN untuk memastikan kemenangan parti – baik di Sabah, baik di Melaka, baik di Johor.
“Siapa pula yang hanya akan ligat berpusing berkempen hanya untuk jawatan dalam parti, tapi hanya acuh tidak acuh apabila parti berhadapan dengan lawan.
“Ada yang sangat berkira apabila turun membantu parti, tapi menunjukkan kemewahan yang luar biasa bila berkempen untuk diri sendiri.
“Buatlah PRU dulu. Kita tengok siapa yang paling banyak menyumbang untuk kemenangan parti, kita akan angkat mereka setinggi-tingginya dalam pemilihan parti nanti,” katanya.
Justeru, Zahida berkata, Puteri Umno mencadangkan satu perhimpunan agung luar biasa diadakan semasa PAU kali ini.
“Maka hari ini Puteri mendesak perhimpunan agung luar biasa diadakan semasa PAU kali ini untuk meminda perlembagaan bagi memastikan pemilihan dalam parti diadakan hanya selepas PRU bagi sesuatu penggal,” katanya. – Malaysiapost

