KETEGASAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berani buat keputusan walaupun kuat ditentang menerima pujian Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf berkata, beliau juga menzahirkan kesyukuran kerana Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno ditakdirkan ‘naik’ menerajui kerajaan hari ini.
“Alhamdulillah, kita bersyukur kerana Tuhan mentakdirkan pemimpin kanan Umno, Datuk Seri Ismail Sabri naik menerajui kerajaan campuran yang hampir karam.
“Mujurlah Perdana Menteri kini Naib Presiden kita yang berani buat keputusan walaupun kuat ditentang.
“Terima kasih Datuk Seri Ismail Sabri yang telah meluluskan pengeluaran KWSP RM10,000 yang amat dituntut dan dinanti-nantikan oleh rakyat yang sememangnya sedang susah dan amat tertekan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, namun kerajaan hari ini bukanlah kerajaan mutlak Umno kerana komposisi Barisan Nasional (BN) masih jauh lebih kecil berbanding jumlah ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
“Namun hakikatnya kerajaan campuran ini amat bergantung kepada ihsan pembangkang.
“Ugutan tekan ‘button’ bagaikan barang mainan. Andai kata ada yang berpaling tadah, sudah tentu kerajaan musnah. Apatah lagi sebahagian besar mereka itu, punya sejarah kaki lompat parti,” katanya.
Justeru, katanya, dalam keadaan ketidaktentuan begini sukar untuk meyakinkan pelabur serta meberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berubah buat kali keempat.
Semalam, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap merasmikan perhimpunan tiga sayap parti itu malam tadi, menyifatkan tiada alasan untuk Umno melengahkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Malah, menurutnya, menganjurkan PRU semasa pandemik adalah pilihan terbaik namun semuanya dilaksanakan dengan disiplin dan ketertiban seperti di Melaka, Sarawak dan Johor.
Kata Mohamad, Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, Sarawak dan Johor memberi beberapa petunjuk penting bahawa masanya adalah sekarang dan bukan tahun hadapan. – Malaysiapost

