Najib sambut baik keputusan kekal SWN 5G, tawar 70 peratus ekuiti DNB

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyambut baik keputusan kerajaan semalam untuk menawar 70 peratus saham dalam Digital Nasional Berhad (DNB) yang merupakan Rangkaian Borong Tunggal (SWN) bagi infrastruktur 5G.

Beliau juga menzahirkan kelegaan dengan keputusan itu, menjelaskan telah lama mengkritik rancangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi monopoli infrastruktur 5G kepada DNB tanpa penyertaan syarikat telco yang akan menjadi pengguna utama.

Katanya, beliau pada masa itu dengan tegas menyatakan model yang dipilih kerajaan masa itu adalah sangat berisiko tinggi dan akan menjahanamkan pembangunan negara bagi tempoh 10 tahun akan lagi.

“Masa itu, saya sekali lagi sarankan kerajaan jual sebahagian saham dalam syarikat DNB kepada syarikat-syarikat Telco sebab mereka harus diberi peranan mengurus dan memantau DNB agar pelaksanaan kemudahan 5G lebih terjamin.

“Selain kerajaan mendapat wang serta-merta untuk bantu rakyat dalam pandemik ini dengan penjualan saham tersebut, syarikat telco juga lebih berpengalaman dengan pelaksanaan infrastruktur telco,” katanya menerusi Facebook.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, namun saranannya itu ditolak dua kali oleh kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada masa itu.

“Lalu saya sekali lagi memberi amaran bahawa jika model tersebut diteruskan maka ekonomi negara bagi tempoh jangka masa sederhana bakal berisiko mengalami kerugian mencecah satu trilion Ringgit.

“… sebab ianya memberi kesan kepada daya saing Malaysia berbanding negara-negara jiran.

“Entah kenapa ‘Abah Kau’ (Muhyiddin) sangat degil dan tidak mahu dengar. Apa kepentingan dia? Benda yang mudah dan jelas macam ini pun dia tak faham,” katanya.

Justeru, akibatnya banyak masa telah terbazir, negara-negara lain dalam ASEAN telah lama melancarkan 5G dan kelajuan internet mobile Malaysia jatuh ke paling perlahan dalam rantau ini.

“Dan akhirnya semalam, kerajaan membuat keputusan untuk menjual majoriti saham dalam DNB kepada syarikat-syarikat telco.

“Dengan serta-merta keputusan ini disambut baik oleh semua syarikat-syarikat Telco semalam,” katanya.

Najib berkata, keputusan terbaharu kerajaan itu juga menyebabkan monopoli yang dibuat kerajaan PN telah terpecah, dan harga saham syarikat Telco terus melonjak naik.

“Tapi sayang. Banyak masa telah terbazir dan terlalu tingginya nilai ekonomi negara yang telah kehilangan akibat degil,” katanya.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN) dengan membuka ruang kepada syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB).

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, model SWN yang diterajui oleh DNB berdasarkan pemulihan kos dan berpandukan penawaran, bersama penyertaan ekuiti oleh syarikat telekomunikasi merupakan penyelesaian terbaik untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G dengan objektif untuk menggalakkan penggunaan 5G oleh rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here