Pemuda Umno ingatkan pimpinan jangan ada ‘gunting dalam lipatan’

0
1

JANGAN ada “gunting dalam lipatan” ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memimpin kerajaan dengan “sebelah tangan terikat”.

Itu ingatan Pemuda Umno kepada pimpinan Umno kerana meskipun memimpin kerajaan ketika ini, Perdana Menteri masih bergantung kepada ihsan pembangkang dan andai ada yang berpaling tadah, kerajaan akan musnah.

Justeru, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Perdana Menteri dan menteri-menteri di medan memegang mandat dan amanah parti untuk mengurus rakyat, mentadbir maslahah negara dan kerajaan.

Pada ketika sama katanya, kepimpinan parti pula memperkukuhkan pangkalan, membangunkan kader-kader pejuang dan melakar garis panduan buat pedoman barisan yang berada di medan.

“Jika semua faham kedudukan dan tanggungjawab masing-masing, parti akan bertambah kuat dan kukuh.

“Tidak perlu menari ikut irama musuh, tidak timbul sama sekali label murahan seperti kluster menteri, kluster PWTC, kluster Royale Chulan, kluster Putrajaya, kluster menang ataupun kluster kalah… yang ada hanyalah satu
kluster iaitu kluster Umno!

“Janganlah pula ada antara kita nak jadi batu api, tukang cucuk, tukang kipas, tukang bakar kepada ‘bos’ masing-masing, mengadu-domba, menghasut kononnya atas alasan nak jaga ‘bos’.

“Namun hakikatnya mereka inilah gunting dalam lipatan, api dalam sekam, merosakkan ‘bos’ hingga tergamak membakar jambatan dan menghancurkan institusi,” katanya dalam ucapan dasar Persidangan Pemuda Umno hari ini.

Asyraf Wajdi berkata meskipun nakhoda baru kerajaan adalah pemimpin kanan Umno, namun sebelah tangan tetap terikat dan sebab itu hampir semua lantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal dan banyak dasar yang baik masih tersekat.

Menurutnya, walaupun pertama kali dalam sejarah ketua kerajaan dan ketua parti adalah dua individu berbeza, namun ini sebenarnya peranan dan fungsi Umno.

“Ingat! Sehebat mana pun jeneral di medan perang, akhirnya dia harus kembali merujuk kepada pangkalan. Sehebat mana pun tentera di lapangan, di markas juga akhirnya dia pulang. Sejauh laut mana pun kapal menyeberang, dia masih akan terpaksa mudik kembali ke pelabuhan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here