Khairuddin tidak akan sertai Umno, tubuh parti baharu

0
2

SAYA tidak akan sama sekali menyertai Umno atau menubuhkan parti baharu, kata bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Sebaliknya bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata beliau hanya berhenti sementara sebagai ahli PAS.

Malah katanya, beliau bukan keluar atau meninggalkan terus PAS, tetapi akan kembali semula apabila tiba masa sesuai selepas misinya selesai dan diterima semula parti.

“Saya berhenti menjadi ahli ada tujuan dan matlamat tertentu dan saya akan mengukur keadaaan dari semasa ke semasa, sehingga berjaya mengajak PAS membetulkan kepemimpinan parti dan parti menang dengan cara terbaik.

“Saya tidak akan masuk Umno, selagi Umno jadi rakan dalam Muafakat Nasional (MN), saya boleh mesra selagi Umno terus mengikut dasar dipersetujui MN,” katanya dalam program temubual bersama Bernama TV, malam tadi.

Semalam Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengajak Mohd Khairuddin menyertai wadah perjuangan Umno dan Barisan Nasional (BN) susulan keputusan beliau meninggalkan PAS.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata beliau tidak akan mengajak ahli PAS mengikuti langkahnya keluar parti.

Beliau juga menafikan keputusan keluar PAS kerana merajuk selepas beliau digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

“Saya mengambil tindakan membakar diri kerana saya sayangkan PAS dan ahli PAS, saya telah bersama PAS kira-kira 33 tahun sejak berusia 16 tahun.

“Apa mereka nak cakap itu hak mereka, saya cuma mahu memberikan pesanan buat yang terbaik dan jangan sia-sia kesempatan yang ada, gunakan mesyuarat dan muktamar akan datang untuk bawa cadangan dan betulkan parti bukannya bersikap menafikan atau ‘sindrom denial ‘ dan menyorok.

“Biar kita malu sekarang, tetapi tujuan asal kita kekal untuk membawa Islam secara bersama dan berkongsi keluarga dalam pemerintahan, ” katanya sambil memaklumkan beliau mahu membetulkan PAS dari luar parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here