NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap perwakilan menjadikan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 yang bermula hari ini, sebagai ruang untuk menyatakan suara akar umbi.
Sambil mengucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan Umno dari seluruh negara, Perdana Menteri berkata suara akar umbi menjadi tunjang kekuatan dan semangat perjuangan parti tersebut.
“Semoga Allah SWT merahmati setiap bibit perjuangan parti keramat Umno dan mengangkat darjat kebesaran maruah bangsa dan negara.
“Umno, sebuah perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
PAU bermula malam ini dengan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri di World Trade Centre di ibu negara yang bakal disempurnakan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan. – Malaysiapost

