PAS sertai PN tanpa persetujuan parti – Khairuddin

0
2

BEKAS Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali mendedahkan PAS telah menyertai Perikatan Nasional (PN) tanpa mendapat persetujuan parti terlebih dahulu. 

Menurutnya, penyertaan PAS bersama PN adalah hasil kehendak Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa orang pemimpin parti yang sekaligus membelakangi peringkat jawatankuasa PAS pusat mahu pun Majlis Syura Ulama parti itu. 

“Perikatan Nasional ditubuhkan tidak mengikut lunas Perlembagaan parti. Hanya tanda tangan surat oleh Presiden parti dengan mengikut nasihat tiga orang sahaja. 

“Tanpa dibawa ke perbincangan parti, dibincang dalam majlis syura, belum diluluskan tapi dah dipersetujui. 

“Bila satu perkara tidak ikut cara yang betul, di mana barokah? Di situlah pertembungan antara parti-parti. PN dan MN bertembung,” katanya dalam wawancara khas Bernama TV, malam tadi. 

Khairuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, perkara itu tidak berlaku ketika PAS memeterai Muafakat Nasional (MN) bersama Umno yang melalui pelbagai proses sebelum parti bersetuju ianya menjadi dasar parti. 

“Kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara PAS dengan Umno. Dasar parti yang dibuat mengikut proses yang sangat hebat. Bermula kertas kerja di peringkat PAS Pusat, dibuat ke majlis syura ulama, diluluskan, dibawa ke muktamar, dua kali muktamar 2018 dan 2019.

“Akhirnya kita bersetuju menubuhkan Muafakat Nasional setelah melalui pelbagai proses barulah ditandatangani di PWTC pada 14 September 2019. Ini contoh proses mengikut proses dalam parti,” katanya. 

Jelasnya, ketika ini banyak berlaku di peringkat tertinggi PAS, proses membuat keputusan bercanggah dengan Perlembagaan parti yang kesannya ditanggung ahli-ahli parti. 

“Ini adalah hasil yang kita dapat. Mangsanya adalah ahli-ahli parti. Ahli PAS diajar untuk walak, mereka akan walak, akan taat apa jua cadangan, saranan atau pun arahan parti. 

“Tetapi bila parti buat keputusan yang datang daripada proses yang salah, yang bercanggah dengan parti, ahli mungkin tidak paham perundangan parti. Mereka tidak tahu apa yang berlaku, maka selagi mana mereka tidak tahu mereka tidak boleh dipersalahkan. 

“Yang salah pemimpin yang tahu, mendiamkan diri tidak menegurkan keadaan. Yang terkesan kepada ahli menjadi fitnah kepada parti. 

“Ini asas untuk saya berhenti daripada parti buat sementara untuk saya bercakap kepada publik untuk saya mengajar kepada ahli parti, ayuh betulkan parti, betulkan kepimpinan parti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here