MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kesihatan awam perlu diberi keutamaan dan dipastikan dalam keadaan stabil sebelum sebarang keputusan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dibuat.
Beliau berkata, walaupun negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik, ia tidak bermaksud pandemik Covid-19 sudah berakhir.
Katanya, negara masih lagi perlu berhati-hati kerana sempadan akan dibuka, saf solat berjemaah di masjid dan surau boleh dirapatkan serta had maksimum kapasiti dimansuhkan, tetapi ia tidak bermaksud boleh berbuat apa sahaja.
“Apabila diadakan PRU, ia aktiviti membabitkan orang ramai dan kita baru saja selesai (PRN) Johor, saya lebih suka kita tunggu sehingga keadaan kesihatan awam kita stabil, barulah kita boleh melihat kepada pilihan raya umum.
“Di Johor kita, tiada pilihan sebabnya (kerajaan negeri) sudah tak ada majoriti, sangat rapuh. Saya lihat Kerajaan Persekutuan ada perjanjian (memorandum persefahaman dengan pembangkang) sehingga Julai.
“Jadi tiada apa-apa keperluan yang mendesak, kerajaan stabil dan tidak akan tumbang, undang-undang dapat diluluskan di Parlimen,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mengulas gesaan supaya Parlimen dibubarkan susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor semalam, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata, semua pihak harus menunggu sehingga keadaan kesihatan awam bertambah stabil sebelum mengadakan PRU.
“Dari sudut kesihatan awam, saya nampak kita boleh tunggu dulu (PRU15) sehingga keadaan bertambah stabil. Jangan kita mengundang perkara yang tidak perlu kita adakan semata-mata kita nampak ada peluang politik.
“Apa yang lebih penting adalah kesihatan awam dan pemulihan negara, kita nak pulihkan negara, baru nak buka sempadan, baru mahu mula, saya rasa berilah peluang sedikit untuk keadaan bertambah stabil,” katanya.
PRN Johor menyaksikan kebangkitan BN selepas meraih 40 kerusi yang menyaksikan gabungan parti itu memperolehi majoriti lebih dua pertiga, manakala PN mendapat tiga kerusi, DAP (9), Ikatan Demokratik Malaysia (1), Amanah (1) dan PKR (1). – Malaysiapost

