Provokasi murahan ‘bubar Parlimen’ biadap tak kena tempat

0
1

NAIB Ketua Pemuda Umno Selangor, Amin Mohd Shukor menyifatkan provokasi ‘bubar parlimen’ yang dilakukan pihak berkepentingan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, sebagai tindakan biadap dan kurang cerdik.

Beliau berkata, kegelojohan sikap dan ketidaksabaran menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dilakukan kumpulan itu sebagai ‘tidak kena pada tempatnya’.

Katanya, kumpulan itu juga sudah mencacatkan majlis kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam.

“Insiden yang bagi saya jelas provokasi biadap dan kurang cerdik kepada PM semalam dilakukan segelintir pihak yang berkepentingan telah mencacatkan keharmonian dan ketertiban majlis.

“Yang lebih kurang cantik lagi, mereka-mereka ini telah merosakkan imej Bangsa Johor yang sentiasa halus dalam menyantuni dan meraikan tetamu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amin berkata, beliau amat memahami soal ‘feel good factor’ dan usaha kesesuaian mendesak proses PRU15 yang disebut-sebut sebelum ini.

“Namun demikian dalam suasana rakyat Johor baru sahaja memilih dan belum lagi teruji khidmat bakti YB-YB yang dipilih, telah dipaparkan kegelojohan sikap dan ketidaksabaran menuju PRU 15 yang tidak kena pada tempatnya.

“Yang amat menyedihkan saya, sikap terjerit-jerit melakukan provokasi picisan terhadap PM ini dengan penuh bangga dirakam dan diviralkan.

“Konon-kononnya ada ‘mileage’ yang boleh dibanggakan kerana berjaya mendesak PM untuk segera dibubarkan Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, hakikatnya ada ruang dan medan yang lebih sesuai untuk dibincang dan diperhalusi perkara itu dan Umno serta BN seharusnya bertindak lebih cerdik.

“Yang merisaukan saya, BN akan dilihat agak angkuh, gelojoh, sombong dan kurang cerdik memberikan gambaran persepsi menambat hati pengundi.

“Jangan kerana ingin meraih ‘kredit dan mileage’ peribadi dari kepimpinan sehingga ada yang sanggup memaparkan kerendahan hati budi parti Umno BN kepada masyarakat,” katanya.

Jelasnya lagi, kemenangan di PRN Johor bukan kerja satu orang sahaja, ianya kerja keras berpasukan dan setiap orang memiliki keupayaan saling melengkapi kepada kekurangan yang ada dalam pasukan.

“Perlu diingat setiap dari kudrat yang hadir dengan niat menyumbang bakti demi kemenangan BN itu selayaknya dihargai tanpa prejudis.

“Yang lebih penting jangan sampai dilihat gelojoh dan membangkitkan rasa menyampah pengundi dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, BN perlu ambil iktibar kesan PRU14 dan tambah baik setiap tindak tanduk dalam mendekati rakyat dan pengundi, khsususnya pengundi muda.

“Perlu kita ingat yang kemenangan semalam bukan hanya kerana kita kuat dan kembali hebat, tetapi kerana banyak lagi faktor-faktor lain yang sedikit berpihak kepada kita dalam waktu yang kebetulan sesuai memenangkan kita,” katanya.

Semalam, media melaporkan, laungan ‘bubar Parlimen’ oleh jentera BN mengiringi Ismail Sabri yang juga merupakan Naib Presiden Umno di Pejabat Badan Perhubungan Umno Johor, selepas kemenangan parti itu pada PRN Johor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here