‘Terbukti BN prihatin bantu rakyat’ – Ismail Sabri

0
2

RAKYAT sudah boleh membuat perbandingan dan ia terbukti dengan kemenangan majoriti mudah Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam.

Naib Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dahulu rakyat tidak boleh membuat perbandingan kerana negara diperintah BN selama 60 tahun.

Katanya, maka ketika itu ramai mahu melihat kelemahan BN.

“Tetapi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 rakyat sudah boleh menilai dan ternyata apa yang dijanjikan oleh parti lain tidak dipenuhi walaupun sudah diberikan peluang oleh rakyat.

“Rakyat menilai siapa yang lebih baik dan terbukti BN prihatin membantu rakyat. Disebabkan itu juga kita menang di Melaka.

“Dalam PRN Johor kali ini, rakyat mudah membuat pilihan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ismail Sabri juga mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Johor kerana memberi kepercayaan kepada BN untuk menerajui pemimpinan negeri itu.

“Terima kasih kepada semua kepimpinan Umno, BN, rakan-rakan parti BN dan semua jentera yang bekerja kuat memenangkan parti.

“Rakyat Johor sudah membuat pilihan, semua pihak harus menerima dengan hati yang terbuka, lupakan pertandingan yang telah berlalu, duduk bersama sebagai keluarga besar Keluarga Malaysia untuk kita bersama-sama membangunkan negeri Johor,” katanya lagi.

Keputusan PRN Johor menyaksikan BN menang di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi, Pakatan Harapan (PH) 11 kerusi dan masing-masing satu kerusi bagi PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here