PAS perlu melakukan islah sekiranya tidak mahu terus menerima kekalahan lebih teruk pada masa akan datang, kata Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul.
Beliau yang turut mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, berharap negeri itu akan mendapat sebuah kerajaan negeri yang stabil dan sejahtera.
“Tahniah rakyat negeri Johor Darul Takzim atas keputusan PRN Johor. Semoga pentadbiran kerajaan stabil dan sejahtera.
“Tahniah Umno, rakan PAS dalam Muafakat Nasional (MN), walaupun tengah sakit. Pesanan budiman, (PAS) mesti islah dan tambah baik diri. Kalau tak, akan kena ‘lipat’ kali kedua lebih teruk,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Ketua Pemuda yang juga AJK PAS Pusat itu berharap semua parti yang kecundang dapat menerima kekalahan itu dengan positif.
“Tahniah semua parti yang kalah. Positif. Tak ada ucapan dan rakaman takziah lagi. Takut sedih memanjang pula,” katanya.
Semalam, Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi membentuk kerajaan negeri yang kukuh di negeri itu.
BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan. Pakatan Harapan (PH) memenangi 11 kerusi, manakala PKR hanya menang satu daripada 20 kerusi yang ditandingi.
Sementara, Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu; PAS dan Gerakan pula menang tiga daripada 56 kerusi yang ditandingi gabungan itu. – Malaysiapost

