DATUK Seri Najib Razak mempersoalkan tindakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang mengutus surat kepada peguam waris Sultan Jamalul Kiram, dengan mengaku Malaysia kesal menghentikan bayaran pada keturunan Sultan Sulu.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, malah Tommy menawarkan untuk membayar tunggakan dari tahun 2013 hingga 2019 berjumlah RM48,300 bagi menyelesaikan kes.
Bayaran tersebut dihentikan pada tahun 2013 selepas insiden pencerobohan Lahad Datu yang mengorbankan 10 ahli anggota keselamatan negara.
“Saya memang tak faham kenapa dia kesal. Dia kesal bahawa ‘hanya’ 10 ahli anggota keselamatan kita terbunuh atau apa?
“Lagipun, keturunan Sulu sanggup upah peguam UK (United Kingdom) untuk saman kita untuk pampasan berpuluh bilion ringgit di negara Sepanyol.
“Jadi, adakah Tommy dan kerajaan PH fikir bahawa keturunan Sulu akan hentikan kes setelah dibayar pampasan RM48,300 sahaja?,” soalnya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Najib berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara ketika itu tidak menghantar wakil ke kes mahkamah di Sepanyol, oleh itu surat daripada Tommy digunakan waris Sultan Sulu sebagai penyataan ‘bersalah’ daripada Malaysia.
“Akibatnya, selain kerajaan PH tidak menghantar wakil ke kes mahkamah Sepanyol, surat peguam negara tahun 2019 ini yang dijadikan bukti dan alasan utama oleh peguam keturunan Sulu bagi menang kes ini sebab surat ini disifatkan sebagai pengakuan bahawa negara telah “salah” dan kita ‘kesal’.
“Surat tahun 2019 ini juga digunakan oleh peguam UK minggu lepas untuk sangkal pendirian peguam negara hari ini bahawa identiti waris terbabit diragui,” katanya.
Untuk rekod, pada 22 Januari 1878, perjanjian dimeterai antara Sultan Mohamet Jamal Al Alam (Sultan Sulu) dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent.
Perjanjian itu bertujuan untuk menjaga kepentingan mereka di Sabah namun selepas pencerobohan Tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah pada 2013, kerajaan Malaysia menghentikan serahan wang ihsan kepada waris Kesultanan Sulu.
Lanjutan daripada tindakan tersebut, Firma Guaman yang mewakili warga Filipina yang mengaku sebagai waris Sultan Sulu (Penuntut) memohon rundingan semula bayaran wang ihsan di bawah Perjanjian 1878. – Malaysiapost

