SEORANG warga emas dilaporkan meninggal dunia ketika mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San Chai, Parit Unas, Muar, Johor pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata mangsa berusia 78 tahun didapati rebah secara tiba-tiba, ketika tiba di pusat mengundi sebelum tidak sedarkan diri di tempat kejadian.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir ke tempat kejadian.
“Siasatan dijalankan setakat ini tiada membabitkan sebarang unsur jenayah dan mangsa dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Zaharudin berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang isu sensitif berhubung kejadian itu di mana-mana saluran media sebelum mendapat kenyataan rasmi polis.
“Ia bagi mengelakkan sebarang salah anggap dan spekulasi negatif yang boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

