Bimbang jangkitan Covid-19, punca peratusan mengundi rendah

0
2

FAKTOR kebimbangan jangkitan Covid-19 mungkin menjadi punca hanya 50 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Hasni Mohammad berkata kemungkinan kebimbangan terhadap Covid-19 menyebabkan pengundi tidak begitu bersemangat untuk mengundi dalam PRN kali ini.

“Kita dapati ramai pengundi golongan dewasa mungkin (tidak keluar mengundi) atas sebab bimbang jangkitan Covid-19.

“Mereka tidak begitu ghairah untuk keluar mengundi dan ini adalah dalam kalangan semua kaum Melayu, Cina, India.

“Warga tua tidak begitu ramai keluar mengundi mungkin atas sebab kesihatan,” katanya kepada media selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Raja, Pekan Nanas, hari ini.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut itu tiba di sekolah itu pada jam 4.05 petang dan selesai mengundi 15 minit selepas itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan 70 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka, namun sasaran itu jauh meleset. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here