PENYERTAAN kali pertama Parti Demokratik Malaysia (Muda) dalam proses demokrasi negara melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat ada sedikit kejayaan.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, calon Muda di kerusi DUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz kini mendahului di kerusi berkenaan.
Setiausaha Agung Muda itu berdepan cabaran enam penjuru membabitkan calon Bebas, Adzrin Adam, Barisan Nasional (BN) Ng Yew Aik, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Khairil Anwar Razali, Perikatan Nasional (PN) Loh Kah Yong dan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Steven Choong.
Setakat jam 10 malam tadi Amira Aisya mendapat 18,937 undi membabitkan majoriti 4,197 undi setakat 161 saluran daripada 184 saluran undi.
Sementara itu, BN mendapat 14,740 undi, PN (8,114 undi), Pejuang (2,203 undi), PBM (2,109 undi) dan Bebas (349 undi).
Selain itu berdasarkan keputusan tidak rasmi di lima lagi kawasan yang ditandingi oleh calon-calon Muda turut dilaporkan mendapat jumlah undi yang memberangsangkan. – Malaysiapost

