KEADAAN bandar Muar yang sesak adalah petanda pelaksanaan sistem demokrasi berjalan dengan baik apabila ramai yang mengambil kesempatan pulang ke kampung menjalankan tanggungjawab mengundi.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, pihaknya menyasarkan jumlah rakyat Johor yang keluar mengundi hari ini adalah 70 hingga 80 peratus berdasarkan pola kesesakan itu yang menunjukkan ramai pulang ke kampung bagi mengundi.
Mengulas lanjut katanya, peratusan mengundi yang tinggi adalah penting bagi mencerminkan kehendak realiti rakyat Johor terhadap kerajaan yang bakal dibentuk, esok.
“Saya diberitahu Muar sesak, mungkin petanda baik ramai dari luar balik untuk mengundi pagi ini. Saya mengambil kesempatan menyeru semua pengundi di Johor termasuk pengundi muda keluar beramai-ramai.
“Perkara ini amat penting kerana kalau peratusan undi agak rendah ia tidak menggambarkan hakikat realiti kehendak rakyat Johor yang saya percaya mahukan perubahan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani.
Ahli Parlimen Pagoh itu yang tiba bersama isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada jam 9.17 pagi tadi.
Seramai 2.597 juta pengundi layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini. – Malaysiapost

