“SAYA mempunyai keyakinan Barisan Nasional (BN) akan muncul juara pada penghujung hari ini,” kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata demikian selepas hadir membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting Pasir Gudang, Johor.
Beliau dilaporkan tiba jam 8.07 pagi bagi melaksanakan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.
Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, beliau hadir awal bagi mengelakkan kesesakan selain bagi membolehkannya meninjau ke pusat pembuangan undi berdekatan dan perjalanan PRN Johor di kawasan lain.
“Saya bangun pagi seperti hari-hari biasa, bangun pagi tadi untuk solat subuh dan mempunyai keyakinan Barisan Nasional (BN) akan muncul juara pada penghujung hari ini.
“Kita tahu ramai akan gunakan peluang dan hak mereka untuk undi, jadi untuk elak kesesakan orang ramai, saya datang awal hari ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Ketika ditanya siapa yang bakal beliau pilih selaku wakil rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Mohamed Khaled hanya tersenyum dan menunjukkan warna baju kemeja biru tua yang dipakainya.
DUN Permas menyaksikan perlawanan lima penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Baharudin Mohamed Taib; Perikatan Nasional (PN), Tazul Arifin; Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mahaya Ahad; Pakatan Harapan (PH), Syed Othman Syed Abdullah dan Parti Warisan (Warisan), Mohamed Ridza Busu. – Malaysiapost

