Najamuddin Mohd Nor
PELUANG untuk menyuburkan demokrasi tidak dilepaskan tiga beradik keluar mengundi buat kali pertama, hari ini.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberi makna tersendiri buat Iskandar Shah Mohd Shahrin, 27, kerana berpeluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Dia yang bekerja di Singapura, nekad mengambil keputusan untuk pulang ke Johor Bahru, pada 2 Mac lalu semata-mata untuk mengundi pada hari ini.
“Ini kali pertama mengundi sebab sebelum ini belajar dan selepas itu terus bekerja di Woodlands, Singapura.
“Saya memang teruja untuk mengundi dan proses pun cepat, tak sampai lima minit, sudah selesai semuanya.
“Memang sangat lancar dan hari ini saya boleh pulang ke Singapura untuk teruskan kerja,” katanya yang ditemui di perkarangan luar pusat daerah mengundi di Dewan Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, hari ini.
Turut sama tidak dapat melindungi perasaan teruja ialah adiknya, Amiera Nur Syafikah Mohd Shahrin, 23, yang berkata, dirinya didaftarkan secara automatik selepas semakan dibuat beberapa hari lalu.
Justeru, dia yang baru selesai menghabiskan pengajian di Shah Alam dan pulang ke kediaman keluarga di Kampung Melayu Majidee tidak melepaskan peluang untuk mengundi.
“Sebelum ini memang saya tidak daftar mengundi. Beberapa hari lalu, semak, tengok memang sudah ada dalam sistem.
“Alang-alang saya sudah habis belajar, sudah didaftarkan dan ada di rumah keluarga, saya pun keluar mengundi buat kali pertama hari ini.
“Memang nervous (gementar) sebab pertama kali kena lalui proses, termasuk celup jari dan tanda kertas undi,” katanya.
Manakala kakak kepada dua beradik berkenaan, Amiera Nabila, 28, pula berkata, PRN Johor adalah pilihan raya pertama bagi dirinya menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat.
Mengakui timbul kesedaran terhadap pilihan raya, dia mengambil inisiatif untuk mengajak dua adiknya ke pusat pengundian pada awal pagi bagi membuktikan orang muda turut mempunyai peranan besar dalam sistem demokrasi.
“Hari ini kira sejarah sebab first time (pertama kali) mengundi. Rasa lega dan lepas tanggungjawab sebagai pengundi berdaftar,” katanya. – Malaysiapost

