PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat Johor menunaikan tanggungjawab dengan keluar mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN), hari ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, berkata beliau dan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman telah melaksanakan tanggungjawab mengundi di Sekolah Sri Muar, Muar, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, pagi tadi.
“Cuaca pagi ini baik dan saya menyeru seluruh rakyat Johor agar dapat keluar mengundi awal.
“Keluarlah mengundi beramai-ramai dan laksanakanlah peluang mengundi ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengucapkan mengucapkan terima kasih kepada petugas PRN Johor.
“Ia termasuklah kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua anggota keselamatan yang terlibat. Selamat mengundi,” katanya.
Menurut maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 2.597 juta pengundi layak mengundi pada PRN Johor, hari ini.
DUN Maharani mempunyai seramai 38,596 pengundi.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca pada sebelah pagi cerah di seluruh Johor dengan suhu sepanjang hari pengundian antara 23 hingga 33 darjah Celsius.
Ribut petir pula diramal berlaku pada sebelah petang di tujuh daerah iaitu Johor Bahru, Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Kulai. – Malaysiapost

