
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kadar kemasukan ke wad Pusat Penjagaan Intensif Pediatrik (PICU) akibat Covid-19 meningkat sebanyak 94 peratus bagi kategori 3 hingga kategori 5.
KKM dalam kenyataan di Facebook berkata, peningkatan ketara untuk golongan itu juga sebanyak 200 peratus bagi kategori 4 dan kategori 5 sebanyak 125 peratus.
“Kanak-kanak kini merupakan golongan yang lebih berisiko mendapat jangkitan Covid-19 memandangkan mereka yang berumur 11 tahun dan ke bawah, belum mendapat perlindungan sewajarnya berbanding dengan kumpulan umur yang lebih tinggi yang telah mendapat vaksinasi,” kata KKM hari ini.
Sehubungan itu, KKM menjelaskan pengambilan vaksin Covid-19 amat penting bagi kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, terutamanya apabila negara akan memulakan Fasa Peralihan ke Endemik.
Katanya, pengambilan suntikan vaksin bagi kanak-kanak dapat melindungi mereka daripada jangkitan teruk varian Omicron iaitu ‘Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) yang mana terjadinya keradangan pada organ dalaman terutama jantung, paru-paru dan otak.
“Oleh itu, KKM sekali lagi menasihati ibu bapa untuk mengambil vaksin untuk anak-anak anda bagi melindungi mereka daripada jangkitan teruk varian Omicron yang boleh membawa maut dari jangkitan Covid-19 dan komplikasinya iaitu MIS-C,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, seramai 119,719 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dijangkiti Covid-19 bagi tempoh Januari hingga pertengahan bulan ini, susulan penularan varian Omicron. – Malaysiapost
