VETERAN DAP, Lim Kit Siang menyeru rakyat Johor menunaikan tangungjawab untuk keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini, demi masa depan negeri ini.
Beliau berkata, proses mengundi dibuka sehingga jam 6 petang dan mereka yang masih belum mengundi masih sempat menjalankan tanggungjawab berkenaan.
“Bangsa Johor, jom ramai-ramai keluar mengundi. Masa untuk mengundi ialah sehingga jam 6 petang nanti.
“Jangan risau, anda masih ada masa untuk keluar dan tunaikan tanggungjawab anda, demi masa hadapan Johor tercinta,” katanya menerusi Facebook.
Kit Siang berkata, buat pertama kali pada PRN Johor, anak muda berusia 18 hingga 20 tahun layak untuk mengundi.
Justeru, katanya, undian mereka amat penting untuk menentukan kerajaan baharu.
“Anak muda, undi anda amat bermakna. Ia akan menentukan dasar, cita-cita dan impian anda untuk kerajaan yang anda pilih. Bangsa Johor, cepat pergi mengundi,” katanya.
Pada Mac 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Seramai 239 calon bertanding pada PRN Johor hari ini, bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – Malaysiapost

