MOSTI analisa pergerakan tanah guna teknologi penderiaan jauh angkasa

0
2

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan menganalisa pergerakan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, menggunakan teknologi penderiaan jauh atau remote sensing angkasa.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata analisa berkenaan dibuat menggunakan teknologi yang dibangunkan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Beliau berkata, tujuh jenis maklumat berkaitan penderiaan jauh dan imej satelit boleh memberi maklumat awal berkaitan pergerakan tanah sekali gus membantu menangani risiko berkaitan tanah runtuh seperti kejadian di Taman Bukit Permai 2, Khamis lalu.

“Sebelum ini, sudah berlaku kejadian sama (tanah runtuh) di Kemensah dan kami pernah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya menerusi ‘System E-Slope’ yang membantu berkaitan pembangunan cerun.

“Ini adalah kerjasama MYSA dengan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kejadian, hari ini.

Ahmad Amzad berkata MOSTI berperanan memberikan maklumat yang diperlukan menggunakan satelit sekali gus membantu kerajaan dalam membuat keputusan dan lain-lain.

Khamis lalu, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini, meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here