Zahid tegas tolak permintaan Tun M untuk bubar Umno – Hamidah

0
1

BEKAS Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Osman mendedahkan Tun Dr Mahathir Mohamad pernah meminta Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membubarkan Umno selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umno ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, pesanan daripada Dr Mahathir itu disampaikan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam satu pertemuan di kediaman Presiden Umno tersebut.

“Saya telah dihubungi Datuk Seri Khairuddin Abu Hasan. Beliau meminta boleh aturkan pertemuan kerana mahu berjumpa dengan Datuk Seri Zahid untuk sampaikan pesanan daripada Tun Mahathir.

“Perjumpaan dibuat di rumah Zahid di mana saya sendiri dan Khairuddin ke rumah Zahid. Kami disambut mesra dan Zahid sendiri bertanya apakah pesanan dan apa yang Tun mahu beliau buat.

“Khairuddin menjawab Tun mahu Umno dibubarkan dan semua Ahli Parlimen masuk ke parti Bersatu untuk bersama-sama Tun wujudkan satu kerajaan kukuh dan kuat,” katanya dalam sebuah video di YouTube.

Hamidah berkata, Khairuddin turut menjelaskan permintaan Dr Mahathir tersebut adalah kerana merasakan kerajaan pimpinannya ketika itu hanya memiliki 13 kerusi, tidak begitu kuat.

Bagaimanapun, katanya, Ahmad Zahid dengan tegas menolak permintaan tersebut.

“Bila mendengar apa yang dikatakan Khairuddin, Zahid terus menjawab tiga kali. No, no, no (tidak, tidak, tidak)

“Beliau dengan tegas berkata saya tidak akan benarkan Umno terkubur di masa kepimpinan saya. Ketika itu beliau pemangku Presiden Umno,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here