Aiman Hanif
BARISAN Nasional (BN) yakin mampu mengulangi kejayaan cemerlang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Johor esok dan diramal akan membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga.
Menurut maklumat dalaman parti itu, berdasarkan kaji sikap dan tinjauan yang dilakukan, BN yakin mampu memenangi sekitar 40 kerusi.
“Berdasarkan kaji sikap, tinjauan dan respon pengundi, kita optimis BN akan berupaya mencipta kemenangan dua pertiga esok, iaitu sekurang-kurangnya memenangi 40 kerusi.
“Walaupun ada menjangkakan kita boleh menang sehingga 46 kerusi, namun kita tidak mahu terlalu yakin dan memadai meletakkan sasaran dengan 40 kerusi.
“Segmen pengundi muda sebenarnya tiada masalah, mereka bersama kita, cuma mahukan sentuhan daripada pemimpin,” kata jurucakap BN kepada Malaysiapost.
Mengulas lanjut katanya, selain tidak lagi percaya kepada Pakatan Harapan (PH) beberapa sentimen tempatan menjadi kelebihan kepada Umno.
Apatah lagi katanya Johor merupakan tanah kelahiran Umno yang mana perjuangan parti ini sudah tidak asing lagi bagi mereka.
Manakala ramalan beberapa agensi kerajaan sehingga petang semalam menjangkakan yang BN akan mencipta kemenangan selesa di Johor.
Menurut statistik yang dilihat Malaysiapost, tinjauan oleh beberapa agensi kerajaan secara purata meletakkan keupayaan BN untuk memenangi sekitar 36 ke 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perikatan Nasional (PN) dijangka akan berjaya memenangi kurang daripada 10 kerusi manakala DAP juga dijangka akan kehilangan beberapa kerusi yang dimenanginya sebelum ini.
Parti-parti lain seperti Muda,Warisan dan Pejuang yang pertama kali membuat penampilan dijangka tidak berupaya untuk memenangi sebarang kerusi yang ditandingi mereka.- Malaysiapost.

