Tiada aktiviti pembalakan di kawasan tanah runtuh – MB Selangor

0
1

TAPAK kawasan insiden runtuhan tanah di Taman Bukit Permai 2, Ampang yang meragut empat nyawa tiada kaitan dengan sebarang aktiviti pembalakan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pihak kerajaan tempatan juga tidak pernah menerima aduan berlakunya tanah runtuh di kawasan terbabit sebelum ini.

“Ia merupakan kawasan lapang dan tiada sebarang aktiviti seperti pembalakan atau pengosongan tanah, tidak ada. Mungkin ia disebabkan keadaan hujan sejak beberapa hari menyebabkan struktur tanah itu terurai.

“Tidak pernah ada aduan untuk kawasan ini. Yang kita pernah terima aduan ialah kawasan empat kilometer dari sini,” katanya memetik Astro Awani.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke tempat kejadian hari ini.

Amirudin berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan segera RM10,000 kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Sementara itu proses pengosongan kediaman membabitkan rumah yang terlalu hampir dengan tempat runtuhan tersebut sedang dilakukan.

“Kita ada lebih 48 rumah yang perlu dikosongkan dan saya sedang melihat proses itu berjalan dulu. Kalau keadaan bencana ini di peringkat awal evakuasi adalah satu proses yang paling penting dilakukan.

“Dan sekarang kita sedang mengukur sama ada keadaan itu selamat ataupun tidak,” jelasnya lagi.

Tambahnya, tempoh tiga hingga empat hari diperlukan sebelum pengesahan sama ada kawasan berdekatan runtuhan tersebut selamat atau tidak untuk didiami.

Kesemua penghuni kediaman terbabit, jelasnya, akan dibenarkan pulang selepas kajian dan ukuran tahap keselamatan selesai dilakukan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here