
JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Fasa Peralihan Monsun bermula pada 14 Mac ini dan berterusan sehingga pertengahan Mei.
Ia sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang bermula sejak 3 November tahun lalu.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir.
“Ia lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
“Kejadian in berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” katanya hari ini.
Muhammad Helmi berkata, keadaan cuaca tersebut berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihat lebih berwaspada ketika tempoh itu dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya. – Malaysiapost
