Bekas Naib Presiden Bersatu ajak pengundi tolak PN, Muhyiddin

0
2

HARI terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini menyaksikan bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Osman menyerang bekas bosnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Menerusi satu klip video, Hamidah mendedahkan sikap sebenar Muhyiddin yang sanggup membuat apa sahaja demi mengejar cita-citanya menjadi Perdana Menteri dahulu. 

“Saya nak nasihatkan pengundi-pengundi di Johor, agar mereka tidak terpedaya dan terpengaruh dengan kempen-kempen dijalankan Perikatan Nasional (PN) terutamanya oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

“Beliau yang saya kenang adalah seorang yang amat opportunis dan amat tinggi akan kepentingan dirinya,” dakwanya. 

Hamidah juga mendedahkan bagaimana kesusahan beliau mewujudkan 24 Bahagian Bersatu di Perak tidak dihargai Muhyiddin pada tahun 2017.

“Bila beliau ada kepentingan tertentu dan atas pengaruh DAP, saya digugurkan sebagai Pengerusi Bersatu Perak dan digantikan dengan Ahmad Faizal Azumu. 

“Soalnya, inilah sikap sebenar Muhyiddin yang saya kenali, seorang yang tidak akan mengenang jasa, kenang budi sesiapa sahaja demi kepentingan diri, dia boleh buat apa sahaja tanpa mengira jasa dan budi seseorang,” katanya. 

Beliau menambah, tergamaknya Muhyiddin memperdayakan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi Perdana Menteri kepada PN memang tidak menghairankan.

Hamidah menjelaskan, cita-cita Muhyiddin mahu menjadi Perdana Menteri bermula sejak penubuhan awal parti itu dengan mempertikai jawatan pengerusi berada pada hirarki paling tinggi berbanding jawatan presiden parti di nombor dua tertinggi parti. 

“Sebab tu saya tidak terkejut dalam isu langkah Sheraton kerana ia telah disusun awal. 

“Dia persoalkan kenapa perlu ada jawatan pengerusi, Tun Mahathir dah pernah jadi Perdana Menteri, biarlah saya pula yang jadi Perdana Menteri. 

“Sebab itu saya tidak terkejut bagaimana langkah Sheraton itu disusun, dirancang sehinggakan orang yang begitu hebat seperti Tun M pun boleh dijatuh dan diperdayakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here