RM19.14 bilion wang 1MDB diperoleh semula – Menteri Kewangan

0
1

JUMLAH dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang berjaya diperoleh semula dan dimasukkan ke Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery) (AA MKA) sehingga 31 Januari 2022, adalah RM19.14 bilion.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, sebahagian besar dana tersebut diperoleh daripada lima sumber utama.

Sumber itu katanya, sebanyak USD1.23 bilion atau RM5.17 bilion diperoleh daripada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan USD2.5 bilion atau RM10.5 bilion daripada Goldman Sachs.

Menurutnya, ia sebahagian jumlah penyelesaian yang dimuktamadkan pada Julai 2020 (dikreditkan pada September 2020).

“Manakala, USD80 juta atau kira-kira RM336 diterima daripada Deloitte hasil penyelesaian global dimeterai pada 24 Mei 2021 (dikreditkan pada Jun 2021) serta RM2.315 bilion daripada AmBank hasil penyelesaian global dimeterai pada 5 Mei 2021 (dikreditkan pada Julai dan Disember 2021).

“Selain itu, USD80 juta atau kira-kira RM336 juta diterima daripada KPMG hasil penyelesaian global yang dimeterai pada 16 Disember 2021 (dikreditkan pada Januari 2022),” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Maria Chin Abdullah (PKR-Petaling Jaya) yang meminta penjelasan mengenai jumlah wang telah dikumpul kerajaan daripada dana 1MDB sejak 2018, serta dari mana sumber dan bagaimanakah dana itu disimpan serta digunakan di Malaysia.

Tengku Zafrul berkata, dana AA MKA ini akan digunakan bagi pembayaran hutang 1MDB dan ia penting bagi mengelak ‘event of default’ ke atas hutang-hutang 1MDB yang seterusnya memberi implikasi buruk kepada ekonomi negara kerana hutang-hutang berkenaan dijamin kerajaan melalui Jaminan Kerajaan, Surat Sokongan dan ‘Settlement Agreement’.

Di samping itu katanya, penggunaan dana itu untuk membayar hutang 1MDB juga akan dapat mengurangkan tanggungan
beban kewangan kerajaan.

Tambahnya, pada 31 Januari lalu, sebanyak RM3.31 bilion dana AA MKA telah digunakan untuk tujuan pelunasan hutang 1MDB manakala baki dana AA MKA pula adalah RM15.72 bilion (termasuk hibah dan untung dan rugi tukaran mata wang asing). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here