LAPAN kenderaan rosak teruk ditimpa bongkah batu yang jatuh dari bukit di Pangsapuri Taman Bukit Permai, Pandan Indah, Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, bongkah batu tersebut menghempap kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir Blok 4 pangsapuri berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.30 pagi.
“Kami dimaklumkan oleh seorang lelaki tempatan terdapat bongkah batu jatuh dari bukit dan menghempap kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir pangsapuri terbabit.
“Polis yang pergi ke lokasi mendapati terdapat lapan bongkah batu menghempap lapan kenderaan,” katanya dalam kenyataan.
Mohamad Farouk berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian disebabkan bencana alam susulan hujan lebat dan angin kencang.
“Laporan polis yang dibuat oleh pengadu dirujuk kepada agensi lain dan tiada kertas siasatan dibuka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya peka dengan keadaan cuaca dan tidak meletakkan kenderaan di bawah bukit atau pokok susulan kekerapan berlaku insiden pokok tumbang atau tanah runtuh yang disebabkan angin kencang serta hujan lebat. – Malaysiapost

