NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membidas seorang pemimpin kanan PAS yang mendakwa Singapura lebih maju daripada Malaysia kerana tiada Umno.
Menjawab kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah itu, Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata Kelantan pula mundur kerana adanya PAS.
“Mohd Amar: Singapura maju kerana tiada Umno – Kelantan mundur kerana ada PAS,” kata Mohamed Khaled menerusi ciapan ringkas di Twitter.
Beliau turut berkongsi pautan laporan media berhubung kenyataan Mohd Amar yang mendakwa Singapura lebih maju daripada Malaysia kerana republik itu tidak diperintah oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Mana yang lebih maju antara Singapura dengan Malaysia? Tentulah yang lebih maju adalah Singapura. Saya meminta maaf untuk bertanya secara berterus-terang, Umno ada ke di Singapura?
“Ada BN ke di Singapura? Tiada. Ini bermakna, jika tiada Umno, ia menjadi lebih mudah untuk membangunkan negara. Sehinggakan setiap hari orang Malaysia menyeberangi Tambak Johor untuk bekerja di Singapura,” kata Mohd Amar menurut laporan Harakahdaily.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata demikian dalam ceramah di Benut, Pontian baru-baru ini, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini. – Malaysiapost

