JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda empat negeri sehingga jam 12 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan cuaca buruk itu akan melanda beberapa kawasan di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Pahang.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Kedah (Langkawi); Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim).
“Termasuk Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Raub) sehingga 12 tengah hari; Khamis,” menurut kenyataan itu.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – Malaysiapost

